Kenapa dengan penganggur?
Ada masalah?
Betulkah penganggur tiada kerja?
Hinakah penganggur?
Banyak masa lapang ?
Suatu hari, Si Penganggur memulakan kerjanya sebagai penganggur. Kerjayanya itu bermula selepas beliau tamat sesi Latihan Industri di sebuah syarikat logistik yang boleh dikategorikan terbesar di Malaysia juga. Sewaktu beliau bekerja sebagai penganggur, beliau berharap suatu hari nanti dapat mengambil peluang untuk 'menimba dan menggali dasar lautan pengalaman' di syarikat tersebut. Hal ini kerana, beliau terlalu stress bekerja sebagai penganggur.
Sewaktu beliau bekerja sebagai penganggur, beliau sering menghadapi insomnia (susah tidur malam). Beliau yang amat mementingkan kesihatan diri dengan beraninya pergi mendapatkan rawatan ke klinik yang tidak diketahui namanya. Setelah tiga hari doktor melakukan rawatan dan siasatan dengan mendapatkan rujukan daripada pakar Psikiatri, doktor itu mendapati punca insomnia beliau adalah kerana beliau mengambil masa yang terlalu lama untuk tidur di siang hari. Doktor itu menjelaskan yang beliau mempunyai jumlah rekod tidur yang terlalu panjang dalam sehari. Beliau memaklumkan kepada doktor tersebut tidur di siang hari merupakan salah satu daripada tugasan sebagai seorang penganggur. Beliau merupakan seorang yang sangat amanah dalam melakukan tugas harian. Akan tetapi, tugasan tidur di siang hari cuma mengambil masa selama 6 hari sahaja. Beliau amat bersyukur kerana berjaya melepasi tugasan tidur di siang hari tersebut. Walau bagaimanapun, kesan tugasan yang amat sukar itu terpaksa ditanggung untuk seminggu berikutnya.
Ini adalah serba sedikit pengalaman daripada seorang yang menjadi penganggur. Menjadi seorang penganggur bukannya mudah. Kadang-kadang seorang penganggur juga terpaksa menanggung masalah kesihatan seperti insomnia tersebut. 'Berat mata memandang, berat lagi mahu bangun tidur di waktu pagi'.
Sekian sahaja permulaan ini. Tidak ada kena-mengena antara yang hidup ataupun yang meninggal dunia. Yang tak elok, kita jadikan kain buruk, yang elok kita pakai. Waallahhualam.